Prakarsa atau cadangan untuk menarik minat Jemaah ke masjid terutama golongan muda

 

1. Mengadakan aktiviti sukan dan rekreasi.


Majoriti halakah anak muda sekarang, terutamanya lelaki memang menggemari aktiviti sukan. Sesuai dengan situasi ini, institusi masjid boleh mengambil langkah yang proaktif dengan menganjurkan aktiviti berkaitan sukan yang membabitkan anak-anak muda. Contoh sukan yang dapat dilampirkan ialah seperti bola sepak, futsal, bola jaring, badminton, berbasikal, bola tampar, sepak takraw, ping pong, malah sukaneka dan sukan rakyat adalah antara jenis sukan yang boleh dipertimbangkan untuk dijalankan. Selain itu, lebih baik lagi jika dapat diadakan pertandingan sukan antara masjid, kerana boleh menambahkan kemeriahannya dengan penglibatan anak muda. Sewaktu menjalankan aktiviti tersebut, selitkanlah juga sedikit tazkirah pada mana-mana ruangan yang sesuai. Tekankan tajuk-tajuk seperti kepentingan beriadah, menjaga aurat, bekerjasama dalam satu pasukan, hatta peranan generasi muda memakmurkan masjid. Selain sukan, golongan anak-anak muda juga sukakan aktiviti berbentuk rekreasi. Ini bersesuaian dengan kriteria generasi muda yang sememangnya aktif, lasak dan sukakan cabaran yang ekstrem. Antara jenis aktiviti rekreasi yang boleh dilaksanakan ialah perkhemahan, berkayak, ekspedisi memanjat gunung, mencari harta karun (treasure hunt) dan explorace. Akhirkalam, tidak lupa juga untuk menyelitkan sebarang bentuk aktiviti kerohanian sepanjang mengadakan program rekreasi tersebut.

2. Mewujudkan persekitaran yang menarik.



Pada era globalisasi kini, ibu bapa perlu menggalakkan anak anak muda mereka untuk sentiasa ke masjid solat berjemaah dan menyertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan di masjid supaya mereka menjadikan kehadiran ke masjid itu sebagai rutin harian mereka. Ibu bapa sepatutnya mendidik anak-anak mereka daripada “umur setahun jagung, darah setampuk pinang” kerana “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Persekitaran yang menarik dapat menggalakkan golongan muda sentiasa ke masjid untuk beribadat. Hal ini kerana persekitaran juga merupakan faktor utama dalam mewujudkan suasana yang ceria dan harmoni dalam memupuk golongan muda berminat untuk berjemaah di masjid. Mereka juga suka dikelilingi oleh orang-orang yang peramah dan menolong antara satu sama lain ketika melakukan sesuatu aktiviti di masjid. Hal ini sekaligus dapat menjadikan mereka selesa dan mempunyai keinginan untuk sentiasa bergaul dengan golongan orang-orang di masjid. Oleh itu, ahli jawatankuasa masjid berperanan penting dalam memastikan suasana di masjid sentiasa dalam keadaan ceria dan harmoni serta kebersihan persekitaran masjid sentiasa terjaga supaya dapat menarik lebih banyak golongan muda untuk ke masjid.


3. Menganjurkan program berbentuk hiburan dakwah dinamakan Karnival Cinta Masjid.




Pihak AJK masjid seharusnya mengadakan program pada hujung minggu, ia bermatlamat menarik golongan remaja untuk datang ke masjid bagi solat berjemaah serta menjadikannya tidak sekadar memuatkan pengisian berunsur dakwah menerusi forum dan ceramah agama, karnival itu juga turut membuka peluang perniagaan kepada ahli kariah di sekitarnya menerusi jualan reruai dan trak makanan. Selain itu, suasana masjid yang biasanya agak sunyi dihidupkan dengan konsert berkonsepkan keagamaan yang dibarisi artis popular seperti Tam Spider, Yasin Sulaiman dan Andy Flop Poppy, sementara bagi kanak-kanak pula disediakan taman permainan serta zoo mini. Hal ini disebabkan remaja atau dikenali sebagai golongan muda juga dapat memupuk rasa minat untuk ke masjid kerana terdapat program yang menyeronokan bagi mereka. Selain ingin mendekatkan masyarakat dengan masjid, penganjuran karnival itu bertujuan mengumpul dana pembangunan bagi menaik taraf kemudahan sedia ada di masjid tersebut. Dengan adanya sumber kewangan yang mencukupi,  pihak AJK masjid dapat mengadakan program ini selalu untuk lebih menarik pihak pengujung bertujuan mengimarahkan masjid.

4. Mengadakan majlis ilmu agama khas untuk golongan muda



Pihak masjid boleh menganjurkan aktiviti seperti seminar, forum atau bengkel. Pihak masjid juga perlu memperbanyakkan majlis ilmu dan menjemput penceramah terkenal agar dapat menarik jemaah untuk datang dan mendengar ceramah di masjid. Oleh itu, ia dapat meningkatkan pengetahuan tentang ilmu agama yang ingin disampaikan oleh penceramah. Semakin banyak kuliah yang dijalankan di masjid, semakin bertambah jemaah yang hadir dan ini dapat mengimarahkan lagi suasana di masjid. Selain itu, ahli jawatankuasa juga boleh mengundang penceramah yang terkenal seperti Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Wadi Annuar. Oleh hal yang demikian, dengan adanya aktiviti sebegini saya pasti dapat membuka mata semua golongan muda untuk datang ke masjid. Ia bukan sahaja datang untuk mendengar ceramah tetapi sekali dapat mendirikan solat berjemaah bersama di masjid. Sebagai penghias bicara akhir, dengan mengadakan majlis ilmu ini ia diharapkan dapat menarik lebih ramai lagi golongan muda untuk mengimarahkan suasana di masjid.

No comments:

Post a Comment

  NAMA PENSYARAH: PUAN ROHANA BINTI ABDULLAH KOD SUBJEK: MPU23012 KELAS: DPM2B NAMA PELAJAR   NO MATRIK ...